Thursday, November 22, 2007

satu penghayatan

Secara tiba-tiba, fikiranku tertumpu mengenai isu perkahwinan. Perbualan bersama salah satu teman karibku telah memberi kesan yang mendalam dan sekaligus merubahkan perspektifku mengenai isu ini. Pendapat yang diberikan oleh beliau sebenarnya telah membuatku lebih matang. Memang benar cinta bukanlah segala-galanya. Kalau kita nikah hanya berdasarkan cinta sahaja, ia tidak mencukupi. Perkahwinan itu sendiri merangkumi pelbagai aspek. Aku melihat perkahwinan itu sebagai membina sebuah rumah. Cinta itu ibarat impian yang kita inginkan bagaimana rumah itu akan kelihatan sementara alat-alat seperti dinding, jenis batu, warna dan tiang diibaratkan seperti kewangan dan kesediaan mental. Perhiasan di dalam rumah pula dikaitkan dengan perwatakan serta perangai kedua-dua insan ini. Lazimnya, hanya bayangan rumah impian yang difikirkan manakala isu bagaimana rumah itu ingin dibentuk jarang dihayati.

Seperti insan lain, aku ingin membina sebuah perkahwinan yang kekal. Iman, ikhlas dan komunikasi yang baik adalah lambang kekuatan rumah itu agar ia sentiasa bercahaya di waktu cerah atau ribut. Ya Allah, ya Tuhanku, hanya Kamu yang tahu tentang masa depanku namun seperti insan lain, aku ingin kebahagiaan yang kekal sehingga ke syurga, insya Allah. amin.

Tentang usia pula, samada kahwin di waktu usia muda atau terlewat bukanlah persoalannya namun kesediaan seseorang itu untuk melangkah ke alam baru adalah mustahak. Perkahwinan tidak syak lagi merupakan salah satu ciptaan Allah dan sekaligus mencerminkan kebijaksanaanNya yang tiada bandingan. Dari perkahwinan ia akan melahirkan satu perasaan sayang di dalam hati dua insan, sama-sama berjuang dan zuriat merupakan anugerah Tuhan yang nilainya tiada ukuran. Perasaaan sayang itu sudah melambangkan kebijaksanaan Allah yang Esa.

Ya Allah, ilmu yang aku pelajari samada duniawi atau ukhrawi, ia mengajarku bahawasanya aku sentiasa memerlukan bimbingan dariMu dan tiada yang lebih bijak kecuali diriMu.


No comments: